Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.

Puisi klasik Sanskrit berjudul Megha Duta karya Kalidasa merupakan sandesa kavya (“puisi utusan”) di mana watak yaksa memujuk gumpalan awan menjadi utusan (duta) bagi menyampaikan pesanan kepada isterinya. Yaksa menceritakan secara terperinci tentang kawasan-kawasan yang akan dilalui oleh gumpalan awan itu sepanjang perjalanannya.

caitanya-rivers74

Kredit gambar: harekrsna.com/

Sloka 30 – Engkau sungguh bertuah, wahai awan! Sungai Nirvindhya sudah menjadi kurus (cetek). Permukaan air kelihatan kuning dan pucat berikutan daun-daun kering gugur dari pokok-pokok di tebing sungai. Tidak ubah seperti seorang wanita yang menjadi kurus dan pucat akibat perpisahan dengan suami atau kekasih tersayang.

Sungai itu terdampar di sana seperti seorang wanita kurus yang terkenang akan masa silam yang indah. Kini menjadi tanggungjawab engkau untuk memastikan sungai itu tidak terus berada dalam keadaan kurus-kering (cetek). Turunkanlah hujan supaya sungai itu menjadi berisi dan gembira.

Sloka 31 – Engkau akan tiba di wilayah Avanti. Warga emas di sana pasti masih ingat akan kisah Raja Udayana yang terkenal dalam legenda. Apabila tiba di wilayah berkenaan, pergilah ke bandar Vishala. Sebagaimana makna namanya, Vishala sebuah bandar yang kaya, maju dan makmur.

Bandar Vishala umpama syurga yang dibawa turun dari kayangan ke muka bumi. Bagaikan sekumpulan penghuni syurga telah dipindahkan bersama-sama bandar ini untuk tinggal di sini.

Sloka 32 – Angin pagi akan bertiup nyaman dari arah Sungai Sipra. Engkau akan dapat mendengar sayup-sayup nyanyian merdu burung bangau, serta menghidu wangi bunga teratai yang berkembang penuh. Gabungan bunyi bangau dan haruman teratai itu mampu mengembalikan semangat golongan wanita yang dilanda kerinduan.

Sloka 33 – Di dalam kedai-kedai di sekitar bandar Vishala, engkau akan dapat melihat ribuan barangan yang dipamerkan untuk jualan. Antaranya adalah rantai mutiara yang berloket permata, kulit kerang dan tiram, batu karang, serta zamrud hijau yang berkilauan. Seolah-olah kesemua kandungan lautan sudah dibawa keluar, dan lautan kini hanya berisi air!

Sloka 34 – Di sini, engkau akan berpeluang mendengar orang yang tahu legenda silam bercerita kepada orang luar yang datang melawat: “Di sinilah Raja Udayana dari Vatsa membawa lari Vasavadatta, puteri kesayangan Raja Pradyot.”

Mereka juga akan bercerita: “Di kawasan inilah dahulu penuh dengan ladang pokok tala emas” dan “Di sinilah Nalagiri, sang gajah perkasa, merobohkan tiang tempat kakinya dirantai, lalu mengganas dan mengamuk.”

Sloka 35 – Engkau akan dapat menghidu bau-bauan yang keluar dari tingkap-tingkap di kawasan perumahan ini. Merak yang dijadikan haiwan peliharaan akan hidup kesunyian tanpa teman. Mereka akan menari riang sebaik sahaja melihat engkau.

Bangunan dan rumah-rumah di sini adalah lambang kemewahan dan kemakmuran. Wangian bunga-bungaan ada di mana-mana. Berehatlah sebentar di kawasan ini untuk melepaskan lelah. (Bersambung pada 30 Disember 2016)